SAHABAT MAHASISWA UTARA

HALAMAN

08 April 2012

Mansuh PTPTN: Harga Undi Anak Muda


Salam Perpaduan, Salam Keamanan & Salam 1Malaysia.

Pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenalkan pada 1997 bertujuan bagi memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar di IPT tempatan sama ada degan membayar separuh atau keseluruhan kos pengajian sepanjang tempoh mereka berada di institusi berkenaan. Ditubuhkan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir manakala  DS Anwar Ibrahim memegang portfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan pada masa yang sama.

Baru-baru ini, Kerajaan telah meluluskan lagi peruntukan tambahan sebanyak RM6 bilion bagi tempoh dua tahun iaitu 2012 hingga 2013  sejajar peningkatan bilangan mahasiswa sebanyak 8.8 peratus atau bersamaan 202, 339 tempat pada sesi ini. Sekiranya PTPTN dimansuhkan Kerajaan perlu menanggung kos sehingga RM43 bilion. Jika dibandingkan jumlah subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh antara tahun 2006 sehingga 2010, jumlah subsidi yang dibayar Kerajaan paling tinggi adalah pada tahun 2008 berjumlah RM35.2 bilion. Sekiranya PTPTN mansuh, sesuatu yang kita perlu pertimbangkan bagaimana kos RM43 bilion tersebut akan ditanggung. Ramalan mudah, kadar cukai yang akan ditanggung oleh rakyat hari ini akan menjadi lebih tinggi.

Malaysia telah diiktiraf di peringkat global apabila menduduki tempat kedua dalam keutamaan dalam bidang pendidikan di peringkat ASEAN setelah Singapura dan tempat ke-14 di peringkat keseluruhannya. Ini yang terkandung dalam Laporan Daya Saing Global 2011/2012 yang dikeluarkan oleh Forum Eknomi Dunia (WEF). 

Tahukah kita, sehingga 20 Februari lalu, 1.9 juta peminjam sudah pun menerima RM43.6 bilion pembiayaan PTPTN. Jumlah yang sangat besar. Jika dilihat dari aspek bantuan pendidikan,pula, purata bantuan yang diterima oleh seorang murid sekolah rendah setahun ialah RM6,354.50 manakala RM 6,941.00 bagi sekolah menengah. Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dengan peruntukan RM260 juta kepada hampir 1.3 juta pelajar juga hadiah yang bermakna daripada Kerajaan. Belum lagi perbelanjaan lain-lain Kerajaan semata-mata untuk pendidikan.
Satu penemuan yang agak menarik apabila ditemui bahawa idea untuk mansuhkan PTPTN ini datang dari seorang mahasiswa Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) pada tahun 2010 dan bukan asalnya dari pihak pembangkang. Dikatakan 90% daripada undi anak muda akan jadi milik Pakatan Rakyat sekiranya PTPTN berjaya dimansuhkan. Kini apabila semboyan PRU 13 hampir tiba, mereka mula memetik idea ini. Menjaja seolah-olah ia milik mereka sebagaimana yang dijanjikan oleh DS Anwar Ibrahim pada 22 Mac lalu di Lukut, Negeri Sembilan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya. Tak mustahil juga, si pencadang kini sudah berada dalam kepimpinan yang sama.

Sekiranya diimbau kembali pada tahun 2007, isu pemansuhan caj pentadbiran pinjaman PTPTN juga agak panas diperdebatkan. Caj 3 peratus pada setiap tahun pinjaman membuatkan mahasiswa merasakan diri mereka terbeban. Hinggalah diperkenalkan pula sistem Ujrah di mana peminjam ditawarkan tukaran pinjaman sedia ada 3% atau 5% menjadi 1%.

PTPTN tidak sepatutnya menjadi isu ketidakprihatinan Kerajaan terhadap mahasiswa sebaliknya isu ini muncul akibat kerisauan mereka tidak mampu untuk membayar balik pinjaman. Isu kebolehpasaran mahasiswa sendiri pula muncul. Saban tahun, beribu-ribu mahasiswa akan bergraduasi, namun bagaimana pula dengan peluang pekerjaan untuk mereka? Kebimbangan mereka ini memberi ruang kepada pembangkang untuk mencuri hati anak muda, untuk bangkit dan protes. Mungkin juga anak muda ini tidak tahu peluang-peluang pekerjaan yang dijanjikan Kerajaan di samping program-program latihan yang dilaksanakan seperti GEMS dan sebagainya.

Oh ya, bagaimana kita ingin menjadi mahasiswa yang berdaya saing dan produktif sekiranya pencapaian akademik tidak seberapa di samping lemah dengan kemahiran soft-skill? Persoalan yang harus dipertimbangkan dan direnungkan. Kita sedar dan sedia maklum dunia semakin mencabar, tetapi apa pula usaha kita dalam mendepani arus globalisasi? Jangan mudah tunding jari seandainya silap itu datang dari kita sendiri.

Hutang tidak mampu dilangsaikan sehingga di blacklist,adakah salah Kerajaan juga? Malu hendak kata, setiap kali semester baru bermula, persoalan biasa ditujukan ‘bila duit PTPTN masuk?’. Belum lagi terima, senarai barang yang hendak dibeli sudah berjela-jela. Mungkin juga, untuk perbelanjaan lain yang menjadi kehendak yang melebihi keperluan. Duit untuk yuran terus ditolak, baki hampir ¾ daripadanya adalah untuk belanja harian.Tiada hak untuk  mempersoalkan bagaimana pinjaman dibelanjakan.

Kita juga tahu, seandainya keputusan kita cemerlang, pinjaman PTPTN akan bertukar menjadi biasiswa. Kenapa tidak rebut peluang seperti itu? Kalau benar susah, kenapa tiada usaha dan anggap sebagai cabaran? Tidak mudah untuk senang. Duit-duit itu juga hak rakyat. Adakah layak kita terima biasiswa seandainya pelajaran kita sendiri entah ke mana? Dan sekiranya kita sebagai pembayar cukai, mahukah kita menaja mereka yang gagal? Jangan kita lupa, duit yang kita terima itu juga hak mereka.

Persoalan demi persoalan timbul. Sekiranya Kerajaan baru dibentuk bermanifestasikan Buku Jingga, adakah semua yang terkandung dalam buku tersebut akan dikotakan? Salah satu daripada item dalam Buku Jingga adalah untuk merombak subsidi negara dengan mengurangkan subsidi swasta dan salurkan kepada rakyat. Subsidi kepada pihak swasta tidak patut dilihat sebagai penghalang kerana subsidi seperti ini yang mampu merancakkan ekonomi negara. Jika diletakkan kebergantungan yang tinggi pada Petronas semata-mata, adakah ia cukup? Mungkin ya, tapi hanyalah untuk satu tempoh.

Mansuh PTPTN yang dicanangkan seolah-olah tidak jelas bagaimana perlaksanaannya. Melihat kepada contoh perkiraan yang diberikan Pakatan Rakyat, seolah-olah hanya mahu memberikan pendidikan percuma di IPTA sahaja. Bagaimana pula dengan peminjam PTPTN yang belajar di IPTS? Ataupun, akan tiada lagi IPTS di Malaysia? Perkiraan juga hanya menggambarkan hanya untuk menjelaskan yuran pengajian semata-mata. Bagaimana pula untuk wang saku dan perbelanjaan lain? Seharusnya, penjelasan yang lebih jelas diperlukan.

Apabila mengetahui ada sekumpulan rakan siswa yang akan berhimpun bagi memansuhkan PTPTN, andaian yang dibuat adalah mereka hipokrit dan mementingkan diri mereka semata-mata. Siapa  yang tak suka, pinjaman  termansuh hanya dengan menunjukkan protes kepada Kerajaan? Memberikan satu undi dan hutang termansuh? Itulah harga undi anak muda untuk masa depan Agama, Bangsa dan Negara. Jika dinilai, Kerajaan telah lama melaksanakan konsep negara berkebajikan dan bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan. Namun begitu, rentetan isu seperti ini, Kerajaan dilihat perlu  segera mencuri hati anak muda sebaiknya.

Berjuang untuk mansuhkan PTPTN, ternyata tindakan pentingkan diri.

Rujukan:

1.    Hansard Parlimen, SINI & SINI
2.    Laporan Kedudukan Daya Saing Malaysia 2011-2012, SINI
3.    Subsidi di Malaysia, SINI
4.    Surat mansuh PTPTN, SINI
5.    Intipati Bajet 2012, SINI

_____________
p/s: Benarkah Kerajaan Malaysia pada hari ini tidak peka dengan kebajikan mahasiswa atau mahasiswa sendiri sebenarnya tidak peka dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan?

Maafkan MU andai entry ini seolah-olah tidak menyebelahi rakan-rakan, cumanya MU hanya ingin mengajak rakan-rakan berfikir dan menilai.

1 ulasan:

  1. Janji penggerak undi. Cakap DSAI langsung takboleh percaya.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ADAKAH ANDA BERSETUJU SEKIRANYA PTPTN DIMANSUHKAN?