SAHABAT MAHASISWA UTARA

HALAMAN


09 Mac 2012

Peserta Malaysia & Afghanistan Juara Pidato Antarabangsa BM Piala PM 2012


Salam Perpaduan, Salam Keamanan & Salam 1Malaysia.
PUTRAJAYA 9 Mac - Peserta Afghanistan, Sebghatullah Qazizada dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Beliau mengatasi empat peserta lain bagi kategori itu pada pertandingan peringkat akhir yang berlangsung malam semalam.
Sementara itu peserta dari Malaysia, Fathiah Ibrahim pula muncul juara kategori nusantara menewaskan dua lagi peserta bagi kategori tersebut.
Pertandingan turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudian menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Pertandingan itu disertai 69 peserta dari 64 negara, namun hanya lapan layak ke pertandingan akhir.
Tempat kedua kategori antarabangsa dimenangi Polina Matveycheva dari Rusia, manakala tempat ketiga pula milik Elena Vorobyeva dari Latvia. Juga layak ke pertandingan akhir kategori antarabangsa itu ialah pemidato Jepun, Yota Tamura dan Marina Makarova dari Moldova.
Sementara itu, tempat kedua kategori nusantara disandang Dayangku Mumtazah Pengiran Md. Jaafar dari Brunei manakala Wahyudi dari Indonesia di tempat ketiga.
Johan bagi setiap kategori menerima piala pusingan iaitu Piala Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai AS$5,000 (RM15,000), hadiah iringan dan sijil.
Naib johan pula membawa pulang piala iringan dan AS$3,000 (RM9,000), manakala pemenang tempat ketiga menerima piala iringan dan AS$2,000 (RM6,000).
 Sumber: BERNAMA

++++

Syabas dan tahniah kepada Fathiah Ibrahim kerana telah berjaya menjadi juara sekaligus mengharumkan nama negara sebagai tuan rumah. Sebagai warganegara Malaysia sepastinya kita perlu berbangga kerana Bahasa Melayu mampu dituturkan secara fasih oleh rakan-rakan kita di seluruh dunia. Kalau orang luar boleh fasih, inikan pula kita yang berpijak dan dibesarkan di bumi Melayu.

Masih ingatkah kita kehebatan Bahasa Melayu sebagai lingua franca satu ketika dahulu? Paling penting, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Melayu itu bahasa perpaduan.

1 ulasan:

  1. orang yang menolak Bhs Melayu itu pasti tidak jujur akan niatnya..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ADAKAH ANDA BERSETUJU SEKIRANYA PTPTN DIMANSUHKAN?