SAHABAT MAHASISWA UTARA

HALAMAN


03 Mei 2012

JAP Platform Baru Buat Mahasiswa


Salam Perpaduan, Salam Keamanan & Salam 1Malaysia.

PUTRAJAYA 2 Mei - Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diwajibkan menubuhkan Jawatankuasa Aduan Pelajar bagi mendengar serta menyiasat semua aduan yang dikemukakan oleh penuntut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Naib Canselor dan fungsinya memudahkan penuntut menyalurkan aduan mereka.

Menurutnya, penubuhan itu sejajar dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan bulan lalu dan dilihat menjadi ruang baru bagi mendengar suara penuntut.

Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi saluran untuk pelajar membuat aduan berhubung rasa tidak puas hati dalam apa saja perkara membabitkan universiti.

"Sebelum ini tiada mekanisme seperti ini, justeru dengan pindaan AUKU ini, kita tidak boleh elak, Naib Canselor perlu mempengerusikannya dan meluangkan masa mendengar aduan pelajar," katanya selepas majlis taklimat media berhubung AUKU dan pembelajaran sepanjang hayat di sini hari ini.

Jawatankuasa itu turut dianggotai wakil alumni, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta dua lagi panel yang boleh dicadangkan oleh pelajar sendiri.

Menerusi peruntukan Seksyen baru 21 A Jadual Pertama AUKU, Jawatankuasa Aduan Pelajar ditubuhkan bagi menjalankan siasatan atau inkuiri ke atas apa saja aduan pelajar.

Selaras dengan pindaan tersebut, katanya, semua penuntut baru bagi kemasukan September depan akan diwajibkan menandatangani kontrak antara pelajar dan universiti.

"Itu (kontrak) adalah antara mereka dan universiti yang mana universiti akan melindungi mereka dan mereka pula perlu menjaga reputasi universiti. Ia seperti kontrak biasa misalnya apabila kita membeli tiket wayang, pada tiket itu akan tertera syarat yang dianggap mengikat kedua-dua pihak," katanya.

Mohamed Khaled berkata, walaupun kontrak itu dirangka sendiri oleh pihak universiti namun kementerian akan menyediakan garis panduan secara umum untuk keseragaman di semua IPT.

"Garis panduan akan ditentukan sendiri oleh universiti mengenai apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak berasaskan kepada keadaan di universiti. Katanya, kementerian akan memanggil pihak universiti untuk mendapatkan pandangan supaya sepakat menggunakan satu garis panduan namun perinciannya bergantung kepada pihak universiti. Mengulas mengenai pembabitan penuntut IPT dalam perhimpunan Bersih 3.0, beliau berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang.

"Terpulang juga kepada pihak universiti jika pada pandangan mereka, apa saja tindakan pelajar masing-masing yang menyertai BERSIH 3.0 boleh menjejaskan imej dan reputasi universiti," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kementerian akan menganjurkan Karnival Kerjaya selama dua hari bermula 9 Jun ini di Presint 2 bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara yang ekonominya berasaskan kepada ilmu pengetahuan.
______________
p/s: MU menyokong baik usaha KPT ini. Secara tak langsung, jelas pihak KPT mengambil berat akan kita. Namun, percaya atau tidak, kita yang selalunya antara sedar atau tidak. Ayuh, gunakan platform Jawatankuasa Aduan Pelajar ini dengan sebaiknya. Kitakan mahasiswa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ADAKAH ANDA BERSETUJU SEKIRANYA PTPTN DIMANSUHKAN?