Salam Perpaduan, Salam Keamanan & Salam 1Malaysia
MU nak kongsikan sebuah artikel karya seorang pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia.
_________________________________
RASIONAL MENGIRINGI KESEDERHANAAN
Ku Amirul Faiz Ku Seman
Timbalan Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia
__________________________________
Umum mengetahui, pada 17-19 Januari telah berlangsung Gerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur. Ia mempromosikan gerakan kesederhanaan yang pernah di utarakan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak di Persidangan Bangsa-Bangsa bersatu ke 65. Gerakan ini menuntut kesederhanaan untuk menolak ekstrimis baik dalam isu agama, politik dan ekonomi.
Kesederhaan secara literalnya membawa maksud tidak kurang atau pun tidak lebih. Namun ia bukan bermakna fenomena cukup makan namun lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran yang rasional dan tidak mengikut mana-mana puak yang ekstrim. Kesederhaan ini bertandang bersama rasional. Rasional dalam pemikiran serta dalam membuat satu penilaian. Ia menjadi satu keperluan untuk mencapai kestabilan sejagat.
Sesungguhnya kesopanan itu dituntut serta diperlukan dan ia datang bersama dengan rasional. Rasional dalam erti kata mempertimbangkan sesuatu itu dengan menggunakan akal dan bukan menggunakan hati. Dalam konteks maklumat, ia mendidik kebolehan untuk menerima satu input maklumat atau perkhabaran dengan ditimbangkan sesuatu perkara berasaskan fakta, kajian dan bukan semata-mata mengikut hati. Sebagai kaum yang terdidik dengan agama, agama Islam mengajar umatnya untuk bertindak secara rasional berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Kerana itu dianjurkan seandainya seorang hakim didalam keadaan marah, beliau tidak boleh mengadili perbicaraan.
Dalam konteks pemikiran mahasiswa, kita dididik dengan menggunakan hokum rasional, berfikir diluar kotak dalam membuat sesuatu perhitungan. Justeru dalam usaha memasyarakatkan universiti, mahasiswa seharusnya bergerak bersama rasional dan kesederhanaan. Ia menuntut kebolehupayaan mahasiswa menerima maklumat secara adil dan mempunyai integriti minda dengan menganalisis maklumat mengikut akal dan bukan emosi. Segalanya harus berfakta untuk melahirkan satu hujahan yang bernas lagi baik dan boleh memposisikan suara mahasiswa dalam masyarakat.
Barangkali ada pihak yang menghujahkan gerakan ini berbentuk politik atau bermotifkan politik, namun mahu tidak mahu umat manusia harus menyokong kesederhanaan. Menyokong untuk mewujudkan keadaan yang lebih tenteram, menolak prinsip individualistik dan materialistik. Ekstrimis yang timbul bukan sahaja dari segi agama, tetapi dari sudut ekonomi, sosial dan politik. Dari sudut ekonomi dilihat, pengamalan sifat sederhana bakal mendidik masyarakat untuk tidak menjadi mangsa kapitalis yang tidak memikirkan masyarakat. Malaysia sebenarnya benar-benar memerlukan warga yang tidak menjadikan untung sebagai sesuatu yang mutlak tetapi dalam masa yang sama memberi fokus kepada pembangunan masyarakat. Dalam hubungan dengan mahasiswa, perlu satu penggerakan yang konsisten untuk penerapan nilai murni ini. Misalnya mendidik masyarakat kampus supaya tidak bersifat indivudialistik sebaliknya mengamalkan semangat kekitaan.
Salah satu impian atau objektif persidangan ini adalah untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang lebih baik untuk generasi muda. Justeru dalam penerapan nilai ini didalam masyarakat kampus, penting supaya keadaan kampus yang aman lagi neutral mampu diwujudkan bagi menjamin kualiti suara mahasiswa. Mahasiswa sebagai kunci suara masyarakat. Justeru andai mereka ekstrim atau cenderung kepada mana-mana pihak, sudah pasti kualiti suara yang dihasilkan akan malap dan kurang didengar. Justeru mereka perlu neutral dan menjadikan diri mereka berhujah atas kapasiti sebagai seseorang yang punya daya intelektual dan bukan pengikut kepada mana-mana fahaman.
Dengan menjadikan artikel yang ditulis oleh Tan Sri Razali Ismail Penasihat Gerakan Kesederhanaan Clobal 2012 sebagai rujukan, ekstrimis berpunca daripada keterujaan melampau mempromosi pandangan seseorang, pendekatan seseorang dan pemikiran seseorang dan menidakkan yang lain. Justeru tambah beliau, gerakan ini mewakili percubaan yang penting untuk mencapai median didalam pelbagai aspek termasuk agama dan politik. Justeru sudah tiba dan ketikanya masyarakat mengadaptasi nilai kesederhanaan dalam hidup mereka. Paling tidak menfokuskan idea didalam pemikiran mereka bahawa perlunya kepada santun serta rasional. Dengan ini berupaya menjamin keharmonian serta keamanan.
Trend memuja pemimpin tertentunya akan menyekat kepada penyuburan pemikiran yang rasional. Sebaliknya meletakkan fokus yang lebih kepada membangunkan masyarakat yang aman dan harmoni harus terus menjadi tujuan kita. Justeru masyarakat akan berupaya dibangunkan dengan bantuan mahasiswa yang rasional lagi neutral dan tidak ekstrim kepada mana-mana pihak.
p/s: Artikel karya ini disiarkan di Berita Harian, Ruangan Tinta IPT m/s 15 pada 9 Februari 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan